Negeri yang mengamalkan Adat Perpatih ini kaya dengan kisah sejarahnya. Negeri Sembilan pada asalnya dihuni oleh orang Asli daripada suku kaum Sakai, Semang dan Jakun. Mereka hidup berpindah randah, memburu, mengutip hasil hutan dan ada yang bertani.
Pada awal abad ke-14, orang Sumatera dari Tanah Minangkabau mula berhijrah ke Tanah Melayu dan ada antara mereka yang tiba di Negeri Sembilan melalui Melaka dan sampai ke Rembau. Orang Minangkabau ini jauh lebih bertamadun daripada orang Asli tempatan yang telah lama tinggal Negeri Sembilan. Lantaran itu, dengan kebijaksanaan orang Minangkabau, mereka berjaya memujuk hati orang Asli menerima kehadiran mereka.
Pada yang sama berlaku perkahwinan campur antara orang Minangkabau dengan orang Asli tempatan. Maka wujudlah satu keturunan yang dikenali sebagai suku Biduanda. Menurut Datuk Seri Utama Dr. RaisYatim, dalam bukunya Jelebak-Jelebu : Corat-coret Anak Kampung (2004), suku Biduanda ini merupakan pewaris asal Negeri Sembilan. Jadi menurut Rais, apabila berlaku proses pemilihan pemimpin, hanya kalangan suku Biduanda yang layak menjadi calon.
Daripada suku Biduanda inilah asalnya pembesar Negeri Sembilan yang dahulu dekenali sebagai Penghulu dan kemudiannya digelar sebagai Undang. Sebelum wujudnya jawatan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, negeri Adat Perpatih ini di bawah naungan Kesultanan Johor. Bahkan, Kesultanan Johor jugalah yang bertanggungjawab memberikan gelaran yang Dipertuan Besar kepada raja di Negeri Sembilan.
Nama Negeri Sembilan mula digunakan pada abad ke-16 untuk merujuk jumlah kawasan penempatan yang dibuka orang Minangkabau di Semenanjung Tanah Melayu. Kawasan tersebut ialah Segamat (sekarang menjadi sebahagian daripada Johor), Naning (sekarang menjadi sebahagian Melaka), Rembau Sungi Ujong, Johol, Jelebu (sekarang menjadi sebahagian daripada Negeri Sembilan), Huku Pahang, Jelai (sekarang menjadi sebahagian daripada Pahang) dan Kelang (sekarang menjadi sebahagian daripada Selangor). Keluasan Negeri Sembilan jauh lebih kecik berbanding dengan Negeri Sembilan yang asal.
Menurut Norhalim Haji Ibrahim dalam bukunya Adat Perpatih : Perbezaan dan Persamaan dengan Adat Temenggung (1993), sejarah awal pemerintahan awal diraja di Negeri Sembilan menyaksikan ketibaan Raja Melewar daripada Pagar Ruyung, Minangkabau, pada 1773, Yang uniknya, raja di Negeri Sembilan merupakan raja yang dijemput oleh pembesar negeri dari Pagar Ruyung dan dirajakan Negeri Sembilan. Sebab itulah raja Negeri Sembilan tidak diberikan gelaran sultan sebaliknya memakai gelaran Yang DIpertuan atau Yamtuan.
Mengikut catatan Martin Lister dalam bukuya, The Negri Sembilan, Their Origin and Constitution (1887), menyatakan bahawa terdapat empat orang penduduk tempatan yang membuka Negeri Sembilan bersama keluarga masing-masing. Mereka ialah Paduka Besar, Engku Bongsu, Senara Muda dan Sri Maharaja. Sepanjang perjalanan menyelusuri hulu Sungai Muar, mereka sampai ke lembah yang indah dan dipenuhi sawah yang padinya masak kuning keemasan. Mereka mengambil keputusan untuk menetap di situ dan menamakan tempat tersebut sebagai Seri Menanti. “Seri” ialah perkataan Minangkabau yang membawa maksud padi masak, sementara “menanti” bermaksud menunggu.
Seri Menanti ialah sebuah kampung kecil terletak kira-kira 40 kilometer dari bandar Seremban dan 14 kilometer dari badar Kuala Pilah. Seri Menanti merupakan Pekan Diraja yang menjadi tempat bersemayam Duli Yang Maha Mulia Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan.
Kebanyakan penduduknya ialah rakyat jelata daripada golongan sederhana dan bawahan. Kehidupan mereka sama seperti petani dan rakyat jelata di tempat lain.
Menurut cerita lisan yang diperturunkan dari mulut ke mulut di samping buku catatan tulisan tangan yang ditemui, Seri Menanti telah dibuka oleh orang Minangkabau kira-kira akhir kurun ke-17 atau pada awal kurun ke-18. Hal ini ada kewajarannya berdasarkan tahun ketibaan Raja Melewar pada 1773. Sebelum Seri Menanti dibuka, beberapa buah daerah seperti Rembau, Sungai Ujong dan Jelebu sudah pun diterokai orang Minangkabau. Mengikut sumber sejarah tempatan, Seri Menanti telah dibuka oleh orang Minangkabau yang datang dari Rembau.
Terlalu banyak versi dan pendapat tentang sejarah pembuakaan Negeri Sembilan. Cuma persoalannya, mengapakah Seri Menanti dimartabatkan sebagai Bandar Diraja? Bagaimanakah pula sejarah pembukaannya?
Tiada catatan yang boleh dijadikan rujukan muktabar tentang sejarah Seri Menanti. Lantaran itu, baru-baru ini Dr. Muhammad Pausi Abdul Latif pensyarah di Jabatan Komnikasi Universit Putra Malaysia (UPM) yang secara kebetulan merupakan orang semenda dengan anak adat Negeri Sembilan, bersama-sama dengan sekumpulan pelajar UPM dari Jabatan Komunikasi telah menjalankan kajian untuk mencari dan meraih ilmu tawarikh tentang Seri Menanti. Semua hasil kajian tersebut didokumentasikan dan dirakam dalam bentuk fotografi serta dipamerkan di Muzium Diraja Istana Lama Seri Menanti pada 14 dan 15 Januari 2012. Tajuk pameran tersebut ialah “Magika Tawarikh Seri Menanti“.
Banyak penemuan penting yang diperoleh daripada kajian tersebut. Bahkan hasil kajian teresebut memberikan maklumat baharu dalam pembuktian sejarah awal pembentukan negeri Adat Perpatih ini. Antara penemuan penting tersebut termasuklah artifak bersejarah di Bukit Tunggal yang dipercayai menjadi tempat persembunyian Raja Melewar dan orang kuatnya Tok Gadang (Tok Godang) sebelum memerintah Seri Menanti setelah berperang dengan Raja Khatib dan orang kuatnya Penghulu Na’am; kisah kampung Masjid Terbakardan beberapa artidak bersejarah seperti lesung batu, acuan lembing dan batu hampar.
Bukti Kesetiaan Penghulu Na’am
“Adat Bersaudara, saudara dipertahankan, adat berkampung, kampung dipertahankan, adat bernegeri, negeri dipertahankan, adat berbangsa, bangsa dipertahankan”. Keunikan sejarah Seri Menanti digambarkan dengan kesetiaan Penghulu Na’am yang memegang Penghulu Ulu Luak Muar (dahulunya Batu Hampar yang sekarang dikenali sebagai Seri Menanti).
Sekitara 200 tahun dahulu, Sultan Abd Jalil Sultan Pagar Ruyung Minangkabau menitahkan anakandanya Raja Melewar berangkar ke Negeri Sembilan untuk dijadikan Yang Dipertuan Besar. Sebelum keberangkatan anakandanya, Sultan Abd Jalil memerintahkan seorang khatib masjid (Raja Khatib) untuk meninjau dahulu keadaan di Negeri Sembilan dan membuat persiapan awal menyambut dan menabalkan Raja Melewar.
Sebelum angkatan Raja Melewar berangkat ke Tanah Melayu, Raja Khatib bersama-sama pengikutnya terlebih dahulu menghadap Sultan Johor untuk memohon restu kedatangan Raja Melewar kelak. Sultan Johor menganugerahkan cap mohor kepada mereka dan Sultan Johor memberikan kuasa kepada Raja Melewar untuk memerintah semua tanah jajahan di Negeri Sembilan.
Penduduk tempatan di Seri Menanti menyambut baik kedatangan Raja Khatib sebagai wakil raja. Namun begitu, ekoran daripada layanan yang istimewa yang diberikan oleh orang kampung, Raja Khatib mengisytiharkan pula dirinya sebagai raja yang diutuskan oleh Sultan Abd Jalil dan menunjukkan bukti sah bahawa dirinya sebagai raja.
Penghulu Na’am yang tidak mengetahui hal sebenar mempercayai kata-kata Raja Khatib tersebut dan menyerahkan tampuk pemerintahan kepadanya. Lalu diraikan Raja Khatib sebagai Yang Dipertuan Seri Menanti selama tujuh hari tujuh malam dengan beralik gadang (kenduri besar). Tumbanglah segala kerbau, lembu, kambing dan ayam di reban semata-mata untuk menyambut keraian tersebut. Penghulu Na’am pula telah mengahwinkan anaknya Warna Emas dengan Raja Khatib untuk mengekalkan talian kekeluargaan dan mengangkat martabatnya.
Setelah empat tahun menunggu, Raja Melewar berasa hairan dengan pemergian Raja Khatib ke Negeri Sembilan yang tida membawa khabar berita. Lalu baginda memerintahkan hulubalang dan santri (penjaga pantai) mengiringi baginda ke Rembau untuk melihat situasi yang berlaku di Seri Menanti. Apabila sampai, maka amat murkalah Raja Melewar apabila mendapat tahu bahawa Raja Khatib telah berpaling tadah.
Amarah Raja Melewar kepada Raja Khatib begitu meluap-luap. Baginda memerintahkan hulubakang dan pengikutnya mempersiapkan diri untuk berperang dengan Raja Khatib. Baginda dan angkatannya melalui kawasan Ulu Penajis, Rembau ke Seri Menanti melalui Bukit Tujuh. Sebelum itu, baginda telah berjumpa dengan Penghulu Na’am untuk meminta penghulu itu memberikan kesetiaan kepadanya. Namun begitu, Penghulu Na’am tidak mahu menurut kehendak Raja Melewar kerana kesetiaannya sudah dicurahkan kepada Raja Khatib yang juga menantunya. Maka terjadilah perang antara orang Minangkabau dengan orang Batu Hampar (Seri Menanti).
Bertuankan Raja Khatib, Penghulu Na’am mendapat sokongan ketenteraan daripada orang Bugis, Rawa dan segelintir orang Portugis. Orang Kampung Tengah dan Gunung Pasir turut sama membantu Penghulu Na’am dalam peperangan tersebut.
Setelah bertempur dengan dahsyat, Penghulu Na’am tewas dan ditangkap. Beliau diminta mengaku untuk mencurahkan kesetiaan kepada Raja Melewar tetapi beliau menolak. Maka Penghulu Na’am dijatuhkan hukuman pancung selepas solat Juma’at.
Terdapat cerita mistik dalam episod hukuman pancung yang dijatuhkan kepada Penghulu Na’am. Menurut cerita tersebut, selepas Penghulu Na’am dipancung, keesokan harinya pada waktu subuh dikatakan kedengaran suaranya melaungkan azan dan kelibatnya dilihat solat berjemaah di masjid. Maka tercetus lagi peperangan antara Raja Melewar dan Raja Khatib.
Angkatan Raja Khatib tewas dan beliau dijadikan tawanan bersama isterinya dan Penghulu Na’am ditangkap dan disuruh mengaku supaya memberikan taat setia kepada Raja Melewar. namun begitu, beliau masih menegakkan kesetiannya kepada Raja Khatib. Kejadian mistik yang sama berlaku apabila hidup keesokan harinya dan ditemui solah berjemaah di masjid.
Dipercayai bahawa Penghulu Na’am mengamalkan ajaran ilmu pendekar yang dikenali sebagai “Lam” (suatu disiplin ilmu kebatinan).Menurutnya, apabila embun pagi menitik ke atas anggota badannya yang sebelum ini terpisah daripada kepala maka anggota tubuhnya akab bercantum semula.
Setelah banyak pertumpahan darah berlaku, perang ketiga yang berlaku selama lima hari membuka kelemahan Penghulu Na’am. Beliau telah mengkhabarkan kepda Raja Melewar bahawa jika tidak mahu beliau “hidup” semula selepas beliau dipancung, badan dan kepalanya hendaklah ditanam secara berasingan di antara sungai.
Ekoran itu, setelah Penghulu Na’am dipancung, kepala beliau dikebumikan di sebuah bukit yang dikenali sebagai Bukit Tempurung. Badan Penghulu Na’am dikebumikan di bukit yang bertentangan dengan Bukit Tempurung dan dipisahkan oleh Sungai Seri Menanti. Bukit ini dikenali sebagai Bukit Tabuh (di Kampung Mendatar Seri Menanti) bersempena dengan nama “tubuh” Penghulu Na’am.
Kisah ini memperlihatkan pengalaman pahit Penghulu Na’am berjuang bermati-matian untuk menegakkan siste beraja di Negeri Sembilan. Situasi yang berlaku sekitar 200 tahun lalu jelas disebabkan oleh kekeliruan dan salah faham. Penghulu Na’am tidak pernah diberitahu tentang perjanjian di Pagar Ruyung bahawa Raja Khatib ialah seorang perutusan raja. Atas sikap amanahnya, beliau sanggup menentang sesiapa sahaja yang cuba menggugat kedaulatan rajanya hatta dengan nyawanya sekalipun. Beliau lebih rela dipancung daripada melihat kedaulatan rajanya musnah.
Dr. Muhammad Pauzi Abdul Latif dan kumpulan pengkajinya telah menemui tapak bersejarah di Bukit Tunggal, Jumbang yang didakwa menjadi tempat persinggahan Raja Melewar ketika datang ke Seri Menanti pada 1773. Banyak artifak menarik yang ditemui di lokasi ini seperti batu lembing dan batu lesung, kesan tapak kaki Tok Gadang dan beberapa penemuan penting lagi.
Ekoran penemuan lokasi bersejarah tersebut, anakanda Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan sekarang yang juga merupakan Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Ali Redhauddin Tunku uhriz dan Tunku Zain Al-’Abidin berjalan kaki meredah hutan sejauh dua kilometer untuk melawat tapak bersejarah tersebut di Bukit Tunggal pada 1 Mac lalu. Ekspidisi itu turut dusertai kira-kira 30 orang pegawai dan kakitangan Jabatan Perhutanan, Tourism Malaysia, media dan Lembaga Muzium Negeri Sembilan (LMNS) selain polis dan bomba.
Menurut ketua ekspidisi, Dr. Muhammad Pauzi Andul Latif, “Tunku Ali Redhauddin tertarik dengan penemuan ini ketika melhat pameran fotografi UPM di Istana Seri Menanti sempena Hari Keputeraan Tunku Muhriz ke-64 Januari lalu,” jelasnya pada media.
Kisah Masjid Terbakar
Kisah lisan Masjid Terbakar yang begitu popular di Seri Menanti belum lagi didokumentasikan oleh mana-mana pihak. Menurut penduduk tempatan, kisah ini dipercayai berlaku pada zaman British di Negeri Sembilan.
Selain daripada tempat ibadat, masjid ini dipercayai menjadi tempat pengajian agama dan lokasi perbincangan bagi mengatur strategi menentang penjajah. Masjid Tanjung Sembeling merupakan masjid lama yang didirikan oleh penduduk kampung Tanah Datar, Seri Menanti kira-kira 150 tahun dahulu. Masjid ini dikenali sebagai Masjid Tanjung Sembeling kerana mengambil nama tempat masjid itu didirikan semula setelah berpindah dari Tanah Datar ke Kampung Tanjung Sembeling, Padang Biawas. Masjid lam di Tanah Datar musnah akibat tragedi kebakaran.
Masjid Tanjung Sembeling menyimpan rahsianya yang tersendiri. Menurut cerita lisan yang diceritakan oleh Datuk Panglima Jaya Haji Sidek bin Jalon (Datuk Adat Suku 3 Batu Buyau) yang berumur 78 tahun yang tinggal di Buyau, Seri Menanti. Masjid Tanjung Sembeling ini ialah masjid terawal yang dibina di sini.
Masjid yang sudah berumur lebih daripada 100 tahun ini wujud semasa zaman penjajahan iaitu pada 1800. Masjid ini diperbuat daripada kayu dan atapnya daripada daun ijuk.
Pada zaman penjajahan masjid ini dijadikan tempat beribadah, menuntut ilmu dan pusat pertemuan masyarakat sekitar untuk bermesyuarat. Pihak Inggeris sangat tidak puas hati dengan fungsi masjid ini kerana didakwa menjadi pusat gerakan menentang British yang mula campur tangan dalam hal ehwal pungutan cukai di Seri Menanti.
Lantas pihak penjajah mengambil keputusan untuk membakar masjid tersebut. Pihak penjajaha beberapa kali cuba membakar masjid ini tetapi tidak terbakar. Namun begitu, akhirnya seorang tali barut Melayu yang dibayar upah oleh Inggeris memecahkan rahsia cara membakar masjid tersebut.
Terdapat dua versi tentang rahsia yang tersimpan untuk membakar Masjid Tanjung Sembeling ini. Ada versi yang mengatakan bahawa masjid tersebut boleh dibakar dengan menyembelih seekor anjing hitam di dalam masjid dan ditaburkan darahnya di serata tempat di dalam masjid. Kemudian barulah masjid itu boleh dibakar. Ada juga versi cerita yang mengatakan bahawa masjid itu boleh dibakar dengan mencampakkan tulang khinzir ke dalam masjid. Apabila rahsia ini terbongkar, akhirnya masjid ini dapat dibakar oleh penjajah British.
Akibat daripada tragedi ini, maka wujudla Kampung Masjid Terbakar di Seri Menanti. Rangka masjid ini dipindahkan ke Tanjung Sembeling dan dibina semula. Sungguhpun begitu, masjid ini terus sepi dan terbiar. Senibina masjid ini amat unik kerana mempunyai hanya sebatang tiang seri yang menampung keberatan kubahnya. Tiang dan lantai masjid ini diperbuat daripada kayu ponak (cengal batu). Ukiran pada tiang seri dan alang pendek menambahkan lagi keunikan masjid ini. Masjid ini tidak lagi digunakan sejak 1976 kerana masjid kariah Kampung Merual telah siap dibina.
Mutakhir ini melalui inisiatif ahli jawatankuasa kariah Masjid Merual dengan mendapat persetujuan Pejabat Agama Daerah Kuala Pilah, masjid ini sudah dipindahkan ke tapak baharu iaitu di Seri Siantan dan dipulihara oleh Dr. Muhammad Pauzi Abdul Latif, pensyarah di Jabatan Komunikasi UPM. Penentian arah kiblat telah diukur dna disahkan oleh Jabatan Mufti Negeri Sembilan. Msjid ini didirikan semula dan dijadikan tempat beribadat di Seri Siantan dan kawasan sekitarnya.
Kisah Batu Kerbau, Batu Badak dan Batu Putih
Kisah Batu Kerbau, Batu Badak dan Batu Putih merupakan cerita lisan masyarakat tempatan yang mengjangkau lebih daripada 100 tahun. Kisah ini diperturunkan daripada satu generasi kepada satu generasi.
Menurut mitos tempatan, Batu Badak dan Batu Putih mengisahkan badak dan kerbau yang berebut kawasan lalu berkelahi selama tiga hari tiga malam. Ekoran situasi yang hingar bingar, sang Kelembai (dipercayai sejenis makhluk halus) telah “menegur” badak dan kerbau. Akibatnya, kedua-dua ekor binatang bertukar menjadi batu. Uniknya, batu-batu ini mash wujud di Kampung Buyau, Seri Menanti.
Magika Tawarikh Seri Menanti bukan sekadar kajian dan bahan pameran biasa tetapi sebagai wadah lembaran sejarah untuk generasi yang akan datang. Sebagai watan ang berdaulat merdeka, seharusnya memahami sejarah kerana dengan memahaminya pasti dapat mengenal jati diri masyarakat Malaysia yang berdaulat. Sagu tidak akan diperoleh jika tidak dipecah ruyungnya dan sejarah bangsa tidak akan diketahui jika tidak didokumentasikan dan diuar-uarkan kepada warganya. ***
Sumber :
https://suprizaltanjung.wordpress.com/2012/07/31/3428/ dari sumber asal Ruangan Fokus, Dewan Budaya – Mei 2012